Seorang Ibu masuk ke bahagian kecemasan dengan tergesa-gesa membawa bayinya yang baru berusia 2 bulan.
“Kenapa ni Puan?”, Tanya seorang medical assistant yang menjaga kaunter depan
“Anak saya ni dah lembik. Tak bermaya. Nafas pun tersekat-sekat. Dah seminggu tak buang air besar”, Jelas ibu kepada MA dengan air mata yang berlinangan.
Bayi itu dibawa ke zon merah dan tiub terus dimasukkan ke dalam salurang pernafasan. Ini bertujuan untuk membantu pernafasan bayi yang sedang lemah.
Doktor yang bertugas pun bertanyakan beberapa soalan berkenaan keadaan bayi sebelum ini. Ibu kata yang bayinya batuk dan selsema 2 minggu lepas. Madu pun diberikan oleh ibu tersebut untuk merawat batuk dan selsemanya.
Tetapi keadaan bayi menjadi lebih teruk pada seminggu ini. Bayi kurang menyusu. Leher jadi lembik. Tidak buang air selama seminggu. Perut nampak kembung.
Dengar je pemberian madu, Ianya mengingatkan satu jangkitan kuman yang sangat jarang berlaku dinamakan sebagai keadaan Botulism. Perkara ini disebabkan jangkitan bakteria Clostridium Botulinum yang berbentuk spora di dalam madu.
KES BOTULISM
Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes kanak-kanak yang menghidapi penyakit Botulism disebabkan pemberian madu. Kanak-kanak itu datang sama seperti kejadian di atas dan ini bukan kes pertama yang telah berlaku.
Di negara-negara lain, sudah banyak kes seperti ini termasuk di Amerika syarikat sendiri.
Kesemua otot bayi boleh menjadi lemah terutamanya saluran permakanan bayi. Ini menyebabkan bayi tidak boleh membuang air besar berhari-hari.
Jika toksin yang dihasilkan oleh bakteria itu masuk ke dalam darah, ia akan mengganggu organ-organ lain. Bayi akan mempunyai leher yang lembik, kaki dan tangan tidak bergerak dan lebih teruk lagi kanak-kanak tidak mampu bernafas dengan sendirinya.
MADU DAN BAKTERIA CLOSTRIDIUM BOTULINUM
Madu mempunyai pelbagai manfaat terutamanya dalam melawan jangkitan bakteria.
Beberapa tahun kebelakangan ini, madu digunakan sebagai ‘wound managament'(rawatan luka) di hospital. Ia sangat berkesan sehingga mana ia mampu membunuh bakteria yang sangat kuat seperti Methicillin-Resistant Staphylococcus Areus(MRSA).
Tetapi ada satu jenis kuman yang boleh berubah kepada bentuk spora ketika mana dalam keadaan stress. Dalam keadaan spora, ia dapat melindungi diri daripada kepanasan yang tinggi, kadar pH dan kepekatan yang ekstrim dan banyak lagi.
Bakteria ini dipanggil sebagai Clostridium Botulinum dan ia mampu terus hidup di dalam madu yang berkeadaan yang ekstrim.
Kajian mendapati sebilangan kecil madu mempunyai kehadiran spora Clostridium.
PENDAPAT KAMI BERKENAAN HUKUM PEMBERIAN MADU
Kanak-kanak yang berumur kurang dari setahun mempunyai sistem imun yang masih tidak terbentuk dengan sempurna. Ini membuatkan mereka senang terkena jangkitan kuman tersebut jika dibandingkan dengan orang yang sudah dewasa.
Disebabkan keburukan pada bayi melebihi manfaat madu itu sendiri, maka pemberian madu adalah dilarang bagi kanak-kanak berumur kurang daripada setahun.
Ia bertepatan dengan keadah fiqh yang dinamakan sebagai Ad Dharar Yu Zal yang bermaksud kemudharatan perlu dihapuskan. Di dalam konsep ini mempunyai beberapa pecahan termasuk MENOLAK KEMUDHARATAN LEBIH UTAMA DARI MENGAMBIL KEBAIKAN.
Di dalam konsep ini kita sedar bahawa madu ada manfaatnya. Tetapi kanak-kanak yang berumur kurang daripada setahun akan mempunyai risiko jangkitan Botulism jika kita berikan madu. Sebab itu kita menyarankan untuk tidak memberikan madu pada kanak-kanak tersebut.
MENOLAK PEMBERIAN MADU PADA BAYI YANG KURANG DARIPADA SETAHUN BUKANLAH MENUNJUKKAN IMAN YANG LEMAH. MALAH IA MENGANGKAT AKAL MANUSIA SAMA SEPERTI KEMULIAAN YANG ALLAH TELAH BERIKAN KEPADA KITA.
0 Response to "JANGAN BAGI MADU KEPADA KANAK-KANAK BERUMUR KURANG DARIPADA SATU TAHUN"
Post a Comment