Aku Bukan Menantu Pilihan



salahkah aku?
Assalamualaikum,
Bulan ini genap 11 tahun perkahwinan saya. Masalah yang dihadapi bermula dari detik persahabatan hinggalah kini, ialah suami tidak pernah berubah. Sudah dikurniakan dua anak tetapi suami masih lagi belum menyedari tentang “tanggungjawab seorang bapa”.
Malah semakin banyak alasan untuk dia melakukan aktiviti seperti orang bujang. Dalam masa 10 tahun ini saya telah banyak berubah dengan mengikut kehendak anak-anak dan juga kehendak mentua. Saya bukanlah menantu kesayangan mereka akan tetapi terasa hanya disayangi apabila setiap titik peluh saya dipergunakan sepenuhnya. Suami saya terlampu dimanjakan keluarganya sehingga setiap kesalahannya tidak mendatangkan rasa bersalah pada keluarganya, adakalanya saya rasa saya seperti pembantu rumah kepada anak-anaknya bukan ibu kepada anak-anaknya.
Saya berasal dari Sarawak. Selama tempoh menjadi isteri, setiap masa saya rasa macam tak diterima dalam keluarga suami dan orang-orang di sekeliling saya. Semua nampak biasa tetapi sebenarnya hati saya menangis kerana setiap perkara yang tidak baik, mesti saya dan keturunan serta tempat lahir saya dipersalahkan.
Kadang-kadang saya tertanya juga “Buruk sangat ke jadi orang Sarawak ni?”. Saya sedar saya tidak sebaik mana tetapi saya juga tahu hukum-hakam agama, saya juga tahu menghormati mentua, ipar dan biras. Saya perasan yang saya hanya berguna dan dipuja apabila saya menurut kehendak mereka. Adakala saya rasakan diri saya sama taraf seperti pembantu rumah di rumah mentua saya, malah pembantu rumah yang sebenar pula berehat apabila saya ada.
Nasib baik saya dan keluarga sudah pindah keluar dari rumah mentua. Ada ipar dan biras di rumah tidak pula mentua suruh mereka membuat kerja rumah. Mereka hanya bercerita masalah dan mengaturkan hal rumahtangga mereka. Kadang-kala saya tak sempat berehat, terus saya dah di kerah membuat kerja rumah. Saya yang duduk berjauhan dari rumah mentua pula kena mencuci tandas di rumah mentua, pada masa yang sama jugalah saya diarahkan membuat air dan memasak setiap kali datang menjenguk mertua, mana menantu yang lain yang duduk di rumah itu?
Mana anak-anak perempuan dan pembantu rumah yang dapat gaji bulanan itu?.
Saya bukanlah nak merungut lebih tetapi saya juga ada rumahtangga dan tugasan harian di rumah sendiri. Saya juga menghidapi penyakit darah tinggi yang agak serius, mungkin kerana banyak berfikir, banyak kerja dan banyak makan hati. Ubat yang saya makan pula sudah 5 jenis sehari akan tetapi masih juga tidak turun tekanan darah tinggi saya ini. Apa tidaknya, setiap saat saya rasa tertekan dan merasa rendah diri kerana kata-kata dan tindakan suami serta keluarganya.
Apa yang paling membuatkan saya kecewa ialah sikap suami yang sangat dimanjakan oleh mentua, maklum sahajalah anak lelaki, juga anak pertama. Segala urusan saya lakukan sendiri kecuali membayar sewa rumah dan bil-bil lain. Saya rasa suami saya “tidak berupaya” untuk berdikari, rasanya itulah sebabnya kenapa mentua masuk campur dalam urusan rumahtangga kami sehingga dia menjadi orang yang penting untuk membuat keputusan.
Apa yang menakutkan saya ialah anak-anak saya yang akan menjadi seperti ayahnya apabila asyik diberi layanan seperti bapanya. Saya rasa amat tertekan apabila setiap kali suami dan keluarganya suka memandang rendah pada saya dengan mengata dan memburuk-burukkan bangsa saya. Selalunya apa yang mereka perkatakan tentang keluarga dan tempat lahir saya adalah tidak benar sama sekali malah berlaku sebaliknya. Namun tiada siapa yang dapat menghentikan mereka dari merendah-rendahkan saya sehingga saya sendiri tidak berdaya untuk mempertahankan pendapat saya. Apa yang saya boleh lakukan hanyalah mengiakan atau paling tidak pun saya berdiam sahaja.
Mentua saya sering sekali menafikan sekiranya saya memberitahu perkara yang benar. Bayangkan macam mana perasaan saya apabila saya mendapati suami saya menjalinkan hubungan di luar dengan beberapa perempuan dan sering juga balik lewat dalam keadaan mabuk.
Mentua menasihati saya supaya redhakan saja dan mengatakan “In Shaa Allah mendapat Payung Emas”. Paling menyakitkan hati apabila ada biras memecahkan rahsia dengan mengatakan yang mentua memang dah tahu lama tentang perkara ini, malah ada berjumpa dengan dukun agar anaknya tidak berkelakuan tidak senonoh dan sentiasa mendengar cakapnya.
Saya tidak redha atas sebarang pengkhianat yang dikenakan pada saya, kecuali Allah membenarkannya. Kalau bangsa saya, mereka kata tidak beragama dan macam-macam lagi. Mentua saya pergi meminta bantuan orang lain untuk mengenakan saya. Nasib baik ada biras yang faham dan tidak suka dengan apa yang dia perlihatkan, takut terjadi pada dia juga.
Bila saya dikutuk mentua dan adik-adiknya yang lain, suami saya hanya berdiam sahaje, walhal mereka ni kononnya celik agama dan hukum hakam. Hati ini masih terasa sakit apabila mentua kata “Orang sarawak, ilmu agama kurang”. Apabila mertua berkata sedemikian walaupun ia menyakitkan hati saya, saya hanya dapat berdiam diri sahaja.
Saya bukanlah rasis atau anti kaum, saya hanya ingin berkongsi pengalaman dan perasaan menjadi menantu yang tidak dihargai. Depan orang nampak baik, tetapi belum apa-apa lagi dah boleh dengar diri ini di kutuk di belakang. Saya masih bertahan kerana diajar dari kecil adat bertandang, adat berumahtangga dan adat dengan mentua. Tak pernah saya diajar untuk kurang ajar dengan mentua menggunakan nada suara yang tinggi walau macam mana keadaan sekali pun.
Akhirnya saya hanya menangis dan menaikan lagi tekanan darah tinggi saya. Suami dan mentua sering sekali juga mengunakan alasan tekanan darah tinggi ini untuk menyalahkan saya.
Ya Allah, adakalanya saya tak dapat menahan beban ini. Suami yang terlampau dimanjakan dan terlalu leka dengan dunia kebebasannya, kecurangannya, penipuannya, mentua dengan perangainya yang terlalu suka mengarah serta masuk campur rumahtangga, ipar yang suka mengambil kesempatan dan kesihatan saya yang tidak menentu.
Perhubungan saya dengan suami pun terasa seperti diatur-aturkan sahaja.

0 Response to "Aku Bukan Menantu Pilihan"

Post a Comment