Jauhilah 20 Dosa-dosa Besar Untuk Mendapat Keredhaan Allah.



Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila kita lihat keadaan umat Islam hari ini kita merasakan amat sedih dan dukacita kerana perbuatan maksiat yang membawa kepada dosa berlaku merata tempat . Umat Islam sudah berani melakukan dosa-dosa besar  secara terang-terangan, mereka tidak takut lagi kemurkaan Allah s.w.t

Kemungkinan bala bencana yang berlaku ketika ini ada kaitannya dengan kerosakkan yang di lakukan oleh tangan-tangan manusia , seperti penyakit HIV, selsema babi, selsema burung, demam denggi berdarah, jerebu, cuaca panas , kemarau , ribut taufan dan lain-lain lagi.

Setiap hari kita baca berita di dada akhbar arus perdana menceritakan kisah-kisah gejala sosial dan jenayah yang di lakukan oleh umat Islam. Kes rogol , sumbang mahram , pembunuhan kejam, ragut ,penderaan fizikal , jenayah along , menjual dan menghisap dadah , rompakan , penculikan, membuang bayi hasil perzinan , pelacuran , perdagangan manusia dan lain-lain lagi. Ini tidak termasuk lagi kes-kes seperti rasuah , penyalagunaan kuasa , khalwat , bersekedudukan , sumpah palsu , minum arak , main judi , fitnah- menfitnah dan perzinaan.

Faktor penting yang menyebabkan kesemua keadaan ini berlaku kerana umat Islam telah meninggalkan ajaran Islam yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w. Mereka terlupa bahawa kehidupan mereka di dunia ini hanya lah persingahan sementara untuk menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Mereka telah dikuasai oleh runtunan hawa nafsu amarah dan terpedaya dengan hasutan syaitan. Alangkan ruginya jika semasa hidup di dunia yang sementara ini diisi dengan dosa-dosa besar yang membawa kemurkaan Allah s.w.t. Jika ditakdirkan seseorang pelaku dosa besar ini mati sebelum bertaubat maka amat malang sekali perjalanan hidupnya selepas kematian kerana akan mengalami kesengsaraan yang  berpanjangan di alam barzakh, Padang Mahsyar, timbangan amal. dan siratul mustaqim akhir sekali dihumbankan ke dalamn Neraka Jahannam, nauzubillahiminzalik.

Di senaraikan 20 dosa-dosa besar yang wajib dijauhi supaya kita mendapat keredhaan Allah s.w.t di dunia dan akhirat.

Dosa-dosa besar tersebut adalah seperti berikut :

1. Syirik (Menyekutukan Allah s.w.t.)

Syirik adalah dosa besar yang paling utama sekali. Seseorang yang syrik kepada Allah s.w.t tidak akan diampunkan dosanya di hari akhirat nanti.

Tentang hal ini Allah s.w.t. berfirman maksudnya :"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki- Nya".(Surah An Nisaa ayat 48).

Dan Allah s.w.t berfirman maksudnya :"Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya Syurga".(Surah Al Maaidah ayat 72)

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud :“ Dosa yang paling besar ialah mensyrikkan Allah , derhaka pada ibu bapa dan membunuh orang”(Hadis riwayat Anas bin Malik)

2. Berputus asa dari mendapatkan rahmat Allah s.w.t.

Seseorang yang putus asa dan kecewa adalah manusia yang tidak redha dengan qadha' dan qadar Allah s.w.t. Orang Mukmin menganggap segala bala dan musibah adalah ujian daripada Allah s.w.t.

Tentang hal ini Allah s.w.t.berfirman maksudnya :"Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".(Surah Yuusuf: 87).

3. Merasa aman dari ancaman Allah s.w.t.

Jiwa yang tidak rasa takut dan gementar dengan Neraka dan azab Allah s.w.t di hari akhirat nanti adalah jiwa yang sombong dan takbur. Dia akan menyesal dan mendapat kerugian nanti kerana di dunia meremehkan ancaman Allah s.w.t.

Tentang hal ini Allah s.w.t.berfirman maksudnya :”Tiadalah yang merasa aman dari azab Allah kecuali orang-orang yang merugi."(Surah Al A'raaf ayat 99)

4. Berbuat durhaka kepada kedua orang tua.

 Anak yang derhaka kepada ibu bapanya tidak akan mendapat redha Allah  s.w.t.kerana keredhaan-Nya adalah bergantung kepada redha kedua ibu bapa. Balasan yang akan diterima di dunia lagi sebelum mendapat azab yang pedih di hari akhirat nanti.

Firman Allah s.a.w. bermaksud: "Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.(Surah al-Israk, ayat 23).

Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Tidak masuk Syurga orang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang gemar minum minuman keras” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Sabda Nabi s.a.w kepada Sayyidina Ali k.w : "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu Syurga yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut)."

5. Membunuh manusia tanpa hak.

Dosa membunuh manusia lain tanpa hak adalah dosa yang sangat besar, kedudukannya adalah selepas syirik kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang membunuh searang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.”
(Surah An- Nisaa’ ayat 93)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa membunuh dengan senghaja itu akan dikenakan empat macam hukuman: (i) Berkekalan di dalam neraka Jahannam. (ii) Kemurkaan Allah. (iii) Dilaknat atau dikutuk hidupnya (iv) Azab yang sangat pedih dan keras yang akan disediakan oleh Allah baginya di akhirat.

Di antara hadis-hadis Rasulullah s.a.w. yang mengancam tentang dosa dan hukum ke atas pembunuh ialah:Sabda Nabi s.a.w. maksudnya :  “Aku (Ubaidullah bin Abu Bakar) mendengar Anas bin Malik berkata: “Rasulullah s.a.w. telah menyebut dosa-dosa besar (atau Baginda ditanya mengenai dosa-dosa besar) “, jawab Baginda: “Menyekutukan Allah, membunuh manusia dan derhaka kepada kedua ibu bapa." (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“ Orang yang mati terbunuh , akan datang di hari kiamat dengan mengantungkan kepalanya di salah satu tangannya , sambil memegang pembunuhnya dengan tangan yang lain , sedang darah terus mengalir. Apabila mereka berdua sudah ada di hadapan Allah, maka orang yang terbunuh itu berkata : Ya Allah, inilah orang yang telah membunuh aku. Maka Allah berkata kepada sipembunuh : Celakalah engkau, lalu di bawalah orang itu ke neraka.”

6. Menuduh wanita baik-baik berbuat zina.

Tentang hal ini Allah s.w.t. berfirman maksudnya :"Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik, yang lengah lagi beriman (berbuat zina), mereka kena laknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar".(Surah An Nuur ayat 23)

7. Memakan riba'.

Tentang hal ini Allah s.w.t  berfirman maksudnya :"Orang-orang yang makan (mengambil) riba' tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila".
(Surah Al Baqarah ayat 275)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“ Selagi akan terjadi dan nyata pada akhir zaman empat macam di kerjakan manusia :
Pertama : orang-orang (mudah sahaja mengerjakan riba’ dan) memakan harta riba’.
Kedua : orang-orang (dengan tak merasa takut-takut) mengerjakan zina.
Ketiga : orang-orang (sering) bersumpah (walau pun palsu , tak ambil peduli)
Keempat : orang-orang (suka) mengurangkan sukatan atau timbangan (pada jual beli)Maka apabila berlaku dan telah nyata (di lakukan orang-orang seperti di lakukan itu) akan bertebaranlah penyakit dan bala yang akan di turunkan Allah dengan perang setengah akan setengahnya.”

8.Lari dari medan pertempuran.

Maksudnya, saat kaum Muslimin diserang oleh musuh mereka, dan kaum Muslimin maju mempertahankan diri dari serangan musuh itu, kemudian ada seseorang individu Muslim yang melarikan diri dari pertempuran itu.

 Allah s.w.t berfirman maksudnya :"Barangsiapa yang membelakangi mereka (mundur) di waktu itu, kecuali berbelok untuk (muslihat) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya orang itu kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah Neraka Jahannam. Dan amat buruklah tempat kembalinya".
(Surah Al Anfaal ayat 16)

9. Memakan harta anak yatim.

Tentang hal ini Allah s.w.t berfirman maksudnya :"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (Neraka)".
(Surah An Nisaa ayat 10)

10. Berbuat zina.

Dalam satu riwayat Nabi s.a.w ada menceritakan kisah seorang abid di zaman Bani Israel yang beribadah selama 60 tahun di dunia sebelum dia meninggal dunia dia telah melakukan zina dan tidak sempat bertaubat. Apabila ditimbang di akhirat dosa zina dengan ibadahnya selama 60 tahun  maka dosa zina lebih berat daripada pahala beribadah selama 60 tahun.

Tentang hal ini Allah s.w.t  berfirman maksudnya :"Barangsiapa yang melakukan demikian itu, nescaya dia mendapat (pembalasan) dosa (nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu".
(Surah Al Furqaan ayat 68-69)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam Neraka.”
(Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas)

11. Sumpah palsu.

Jika seseorang bersumpah untuk melakukan sesuatu perbuatan, namun ternyata ia tidak melakukan perbuatan itu. atau ia bersumpah tidak akan melakukan sesuatu perbuatan, namun nyatanya ia kemudian melakukan perbuatan itu. Tentang hal ini Allah s.w.t berfirman maksudnya :

"Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan mensucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih".
(Surah Ali Imraan ayat 77 )

Diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya: Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda maksudnya : "Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besardosa besar? Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdikkedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu."

 12. Meminum arak (minuman keras).

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah kepada kedua-duanya ada dosa besar (mudarat) dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 219)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“ Empat ( macam manusia) tidak Allah masukkan mereka itu ke Syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak , pemakan riba’ , menzalami (memakan) harta anak yatim dengan tidak hak dan derhaka pada ibu atau bapa.”
(Hadis riwayat Al-Hakim)

13. Berjudi.

Judi adalah antara amalan termasuk dalam dosa besar kerana ia dikaitkan dengan amalan syaitan. Tegahan berjudi kerana perbuatan itu mendatangkan banyak keburukan bukan saja kepada orang yang suka berjudi, juga mereka yang rapat dengannya.

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah kepada kedua-duanya ada dosa besar (mudarat) dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.”
(Surah al-Baqarah, ayat 219)

14. Menilik nasib / mempercayai bomoh.( menggunakan perantaraan jin dan syaitan mengaku boleh mengetahui perkara ghaib)

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib adalah najis (haram) dan ia daripada perbuatan syaitan.”
(Surah al-Maidah, ayat 90)

Sabda Nabi s.a.w bermaksud: “Barang siapa datang kepada tukang tenung (bomoh), kemudian dia membenarkan perkataannya, maka sembahyangnya tidak diterima oleh Allah selama 40 hari.” 
(Hadis Riwayat Muslim).

15.  Meninggalkan solat.

Tentang hal ini Allah s.w.t. berfirman maksudnya :"Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (Neraka)?" Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat".
(Surah Al Muddats-tsir ayat  42-43 )

Nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud :“ Bermula orang yang meninggalkan solat pada hal ia dalam keadaan sihat, maka Allah tidak memandang kepadanya dengan pandangan rahmat, dan baginya kelak azab yang amat hebat melainkan kalau ia bertaubat dari perbuatannya itu”

16. Melanggar perjanjian dan memutuskan tali silaturahmi.

Tali silaturahmi adalah salah satu ikatan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t.untuk disambung.

Allah s.w.t  berfirman maksudnya :"(yaitu) orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerusakan di muka bumi. Mereka itulah orang-orang yang rugi".(Surah Al Baqarah ayat 27 )

Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud, "Orang yang memutuskan silaturahim tidak akan masuk Syurga."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

17. Melakukan liwath (homoseksual).

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :“ Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka) , bukan kepada wanita, maka kamu ini adalah kaum yang melampau batas.”
(Surah Al- A’raaf ayat 81)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“ Barangsiapa mengerjakan akan perkerjaan kaum Luth (liwaath / homoseksual) maka hendaklah di bunuh yang memperbuat dan yang di perbuat.”

18. Tidak menuanikan zakat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :“ Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karuniaNya , menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan di kalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allahlah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Imran ayat 180)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :“Barangsiapa mempunyai emas atau perak senisab, sedang tidak di keluarkan zakatnya, kelak di hari kemudian ia akan di kejar-kejar oleh ular yang besar dan sangat berbisa dari neraka yang mengigit tangannya sehingga terpotong, kemudian tangannya kembali sebagai sediakala, di gigit lagi ular itu, demikianlah setiap masa, sehingga akhirnya orang yang bakhil itu akan di seret ke neraka Jahannam”

19. Mengurangkan sukatan timbangan.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Tepatkanlah ukuran dan janganlah kalian termasuk golongan orang yang merugi.
(Surah Asy Syu’araa ayat 181).

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang bathil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berjalan atas dasar suka sama suka diantara kamu”
(Surah An-Nisaa ayat 29)

20. Membunuh diri sendiri dengan sengaja.

Dari Abu Huhairah r.a. Nabi s.a.w bersabda maksudnya : “Sesiapa yang terjun dari bukit membunuh dirinya, dia akan terjun ke dalam neraka jahannam kakal di dalamnya selama-lamanya. Sesiapa yang meminum racun membunuh diiri, racun itu akan berada di dalam gengamannya, dia akan menghirup racun itu di dalam neraka jahannam kekal di dalamnya selama-lamanya. Siapa yang membunuh dirinya dengan besi, maka besi itu akan berada dalam gengamannya, dia akan menikamkannya di perutnya di dalam neraka jahannam, kekal di dalamnya selama-lamanya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Thabit bin Dhohak r.a. sabda Nabi s.a.w. maksudnya :  “Sesiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu benda di dunia, dia akan diazabkan dengan benda tersebut di hari kiamat.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jabir bin Samurah r.a. bahwa seorang laki-laki telah membunuh dirinya sendiri dengan tombak maka Nabi s.a.w. tidak menyembayangkan (jenazahnya)”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sahabat yang dikasihi,
Setiap dosa-dosa yang kita lakukan sebenarnya ianya akan memberi kesan kepada hati  kita. Hati akan berpenyakit dan dipenuhi oleh selaput hitam yang menutup pintu-pintu hidayah dan kebenaran. Untuk menghilangkan selaput hitam tersebut perlu kepada bertaubat dan beristighfar kepada Allah s.w.t dan sentiasa mengingati mati dan banyak membaca al-Qur'an.

Firman Allah s.w.t maksudnya: “Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga).”
(Surah An-Nisa’ ayat 31)

Oleh itu jauhilah semua dosa-dosa kecil atau besar dalam hidup kita dan sentiasa menghidupkan hati kita dengan iman dan taqwa dan sentiasa muraqabah  dengan Allah s.w.t.

Semoga kita  semua diampunkan oleh Allah s.w.t  terhadap  dosa-dosa kita yang telah lalu dan akan datang dan di beri-Nya rahmat dan keredhaan-Nya didunia dan akhirat.

0 Response to "Jauhilah 20 Dosa-dosa Besar Untuk Mendapat Keredhaan Allah."

Post a Comment